Pages


click picture

Friday, July 16, 2010

Berita dari Malaysia

16 Julai, 2010 17:04 PM

PNB, Chao Group Jual Pegangan Titan Kepada Honam Dengan Harga RM2.94 Bilion

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan dana saham amanahnya serta The Chao Group, menjual pegangan mereka berjumlah 72.3 peratus dalam Titan Chemicals Corp Bhd kepada Honam Petrochemical Corp dari Korea Selatan dengan harga RM2.94 bilion pada Jumaat.

PNB dan dana saham amanahnya secara kumpulan memegang kira-kira 35.3 peratus dan selebihnya oleh The Chao Group menerusi Union Harvard Investments S.R.L. dan CGDC Investments Corp.

"Kami telah melabur dalam syarikat ini sejak 20 tahun lepas, oleh itu kami melihat peluang baik untuk keluar berikutan harga yang menarik," kata Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman selepas memeterai perjanjian bagi penjualan saham Titan dengan pihak-pihak berkaitan di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata PNB perlu menilai apakah yang terbaik untuk mewujudkan nilai bagi kumpulan.

PNB berkata penyertaan Honam dalam industri petrokimia Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat itu terhadap prospek industri tersebut di negara ini.

Pemegang kepentingan The Chao Group, Datuk James Y. Chao, yang juga pengerusi eksekutif Titan Chemicals berkata syarikat itu akan menjual saham-saham tersebut pada harga RM2.35 sesaham.

The Chao Group, dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam industri kimia antarabangsa, bergiat aktif dalam industri petrokimia dan plastik di serata dunia dan mengasaskan Titan pada lewat 1980-an.

Selain daripada Titan Investment, The Chao Group juga memiliki pegangan majoriti dalam Westlake Chemicals Corp, yang disenaraikan di New York Stock Exchange.

Pelaburan usaha sama PNB dalam Titan bersama The Chao Group pada awalnya dilakukan menerusi syarikat modal teroka milik penuh PNB, PNB Equity Resources Corp Sdn Bhd.

Honam adalah syarikat perniagaan petrokimia di bawah Lotte Group dan merupakan syarikat petrokimia bersepadu utama di Korea Selatan, menghasilkan bahan petrokimia asas dan pengantara serta plastik dengan jualan tahunan US$7.4 bilion (US$1=RM3.17) tahun lepas.

Sementara itu, agensi berita Yonhap berkata Honam akan membeli 100 peratus pegangan dalam Titan dengan harga 1.5 trilion won (US$1.2 billion).

Syarikat Korea selatan itu berkata ia merancang untuk membeli pegangan tersebut melalui bidaan pengambilalihan.

Honam dalam satu kenyataan berkata menerusi cadangan pembelian itu, syarikat tersebut berharap dapat mengukuhkan operasi luar negaranya dengan memperoleh asas pengeluaran antarabangsa di pasaran pertumbuhan tinggi dan di kawasan dengan akses kepada bahan mentah kompetitif.

Syarikat itu berkata ia juga akan mengembangkan operasinya di Asia Tenggara, China, Timur Tengah dan Komanwel Negara-Negara Merdeka sebagai satu daripada peserta petrokimia paling kompetitif di Asia.

"Cadangan pembelian itu akan mempelbagaikan model perniagaan kami dan mengekalkan pertumbuhan di tahun-tahun akan datang," kata syarikat itu.

Honam disenarakan di Korea Stock Market Exchange pada 1991.

-- BERNAMA

No comments: